Friday, April 16, 2010

Perginya Seorang Hero...

Kehilangannya sungguh terasa. Kurasakan baru semalam kami terpisah. Saat-saat perpisahan kami masih basah dan segar di ingatan. Setiap memori muncul di kala rindu bertandang. Tapi hakikat perlu ditelan dan aku pasrah atas takdir Rabbi.
Bagiku kau seorang lelaki yang hampir sempurna walaupun pertemuan kita seketika cuma ibarat kapal yang berada di persinggahan ketika monsun. Cintamu masih mekar di hati seorang bidadari hingga tika ini. Baranya tak pernah padam. Aku sering didendangkan cerita tentangmu oleh bidadari itu. Terasa terhibur walaupun hakikatnya rindu sering bertapa dan bersarang di hati.
Mana tidaknya segala masalahku kuadukan pada al-Khalik dan berkongsi dengan sang bidadari. Setiap permasalahan yang melanda membuatkan ingatanku tertumpu padamu heroku. Orang lain di luar sana merasakan nikmat itu berkongsi suka dan lara tatkala aku sendirian merenung cebisan kenangan. Kami lalui liku perjalanan ini dengan penuh perit tanpa pembelaan seorang lelaki sepertimu.
Mendengarkan cerita kawan-kawanku tentang hero-hero mereka terdetik di hati ini. Seandainya Allah masih lagi menitipkanmu di sisiku mesti aku dapat merasai nikmat yang sama seperti mereka. Batinku menjerit kata-kata azimat yang tidak mungin kau dengari. Hanya menjadi lafaz rindu yang tersimpan. Perpisahan ini hanya sementara walau diriku merasakan ia amat panjang. Engkau hadir dalam mimpiku dan doaku. Daku yakin hanya itulah penghubung antara kita.
Namun , aku bersyukur kerana dipilih oleh Allah menerima ujian ini. Ujian Allah itu satu rahmat. Ketiadaanmu mengajar ku erti hidup sebenar kerana hidupku disinari ketabahan seorang bidadari melayari bahtera kehidupan tanpamu di sisi. Terkadang aku terdengar bisikanmu menuturkan kata-kata amanah, kata-kata semangat dan itulah yang menjadi penyuntik jiwaku di kala aku mencipta langkah. Bisikan itu tidak pernah jemu bertandang di telingaku. Aku lebih kuat menepis dugaan yang mampu menghalang amanah itu. Halangan demi halangan kutempuh. Terjatuh. T ersungkur. Di kala itulah air mata keresahan menitis meratapi sebaris kata amanah. Mampukah aku mencipta langkah seterusnya?? Persoalan ini sering menerjah di ruang fikiranku…namun harus kugagahi kerana aku tidak seperti orang lain. Aku harapan terakhir keluarga tercinta. Impianku dan amanah yang tergalas ini mesti aku laksanakan. INSYALLAH…
Tatkala aku mengecap kejayaan, bayanganmu menerjah. Namun aku akur. Sesungguhnya ia bukannya realiti. Ingin sekali aku berkongsi kegembiraanku bersamamu. Setiap kejayaan yang aku kecapi hanya rasa syukur dapat aku lahirkan dan titis air mata bonda menemani kegembiraanku. Ya ALLAH, aku bersyukur dikurniakan bidadari yang menyayangiku dan mendukungku dalam apa saja yang aku lakukan!!!
Akan kubuktikan bahawa aku mampu merealisasikan amanah ayahanda dan bonda tercinta.Biiznillah. Insyallah. Jiwaku tidak pernah gersang kerana diri kalian sentiasa di hatiku!!! Kalianlah heroku dan bidadariku dunia wal akhirat...

Sayu…terpisah…
Hikayat indah kini hanya tinggal kenangan…
Berhembus…angin rindu…
Begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu

Hujan lebat mencurah kini
Bagaikan tiada henti
Kaulah laguku kau irama terindah
Tak lagi kudengari
Kau pergi…pergi…

Sepi…tanpa kata…
Terdiam dan kaku tak daya kau ku lupa
Apa pun kata mereka
Biarkan kenangan berbunga di ranting usia


I'LL PRAY WE'RE TOGETHER IN JANNAH...
INSYALLAH....
SHOW ME THE WAY YA ROBB...

kk12th:160410
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...