Saya tergerak hati menukilkan cerita ini disebabkan satu
peristiwa yang agak lucu tetapi dari satu sudut ia berjaya mengetuk kotak
fikiran saya untuk menterjemahkan apa yang saya dapat disebalik peristiwa ini.
Peristiwa ini terjadi pada bulan puasa. Kakak saya meminta saya ke rumahnya
mengambil lauk pauk yang dimasaknya.
Sambil tergelak-gelak kakak bercerita. Saya makin penasaran
apa yang diketawakannya.
Kakak: Adik
tau tak ape yang jadi pagi tadi?
Saya : Apa dia? Lucu sangat ke?
Kakak: Si Azfar
bangun dari tidur terus cakap “Mama, mata Azfar dah buta!! Tak boleh buka!!”.
Dengan cemas akak dapatkan dia. Rupa-rupanya dia kena sakit mata. Jadi matanya
bertahi. Bila tahi mata dah keras susah la nak bukak mata.
Saya : Macam tu
ke? (sambil gelak). Azfar ni bicaranya selalu buat orang ketawa.
Azfar masuk ke
dapur dengan mengah. Baru lepas bermain dengan adiknya.
Saya: Ucu nak
tengok mata Azfar boleh? Dah boleh main ni mesti dah tak buta kan?
Sebelum tidur
saya terfikir bagaimana sekiranya apa yang berlaku pada anak buah saya itu
benar-benar terjadi? Bagaimana keadaan kita apabila bangun dari tidur seluruh
dunia menjadi gelap? Terbit rasa syukur di hati. Allah masih meminjamkan saya
pancaindera yang tiada tanding nikmatnya.
Melihatkan
insan yang cacat penglihatan meneruskan kelansungan hidup, timbul rasa kagum
terhadap mereka. Ketabahan mereka menjalani hidup dan menerima takdir Ilahi
mengetuk minda saya. Allah menggelapkan cahaya pandangan mereka kerana Allah
sayangkan mereka. Hal ini kerana, mereka jauh dari maksiat pancaindera dan pada
masa yang sama Allah menerangi hati-hati mereka dengan cahaya Ilahi. Saya
percaya berbekalkan cahaya inilah mereka tegar dan ampuh menelusuri kehidupan
yang berliku ini.
Orang selalu
menyebut , biar buta mata, jangan buta hati. Ya! Saya amat bersetuju dengan
kenyataan ini.
Jom tanya
diri kita apakah kita betul-betul menggunakan nikmat Allah sebaik-baiknya.
Kita guna
tangan kita untuk apa?
Ke manakah
kaki kita melangkah?
Apakah
ucapan yang lisan kita selalu ungkapkan?
Adakah kita
melihat serta berfikir tentang kebesaranNya?
Gunakan
seoptimum mungkin nikmat yang Allah pinjamkan sementara ini. Peliharalah ia
kerana ia adalah milik Allah yang mutlak. Nikmat pancaindera inilah yang bakal
menjadi hujah kepada kita dan ke atas kita di akhirat kelak. Justeru, marilah
kita bersama mencari cahaya yang sebenar-benar cahaya. Cahaya yang bagaimana?
Cahaya yang membawa kita kepada redha Ilahi.
Marilah kita
memandang sesuatu dengan sesuatu bukan dengan pandangan yang kosong. Peristiwa
itu mengajar saya erti syukur yang sebenar. Saya amat berterima kasih kepada
anak buah saya kerana secara tidak langsung menyedarkan saya. Azfar terima
kasih jadi cikgu Ucu.
ALHAMDULILLAH,
TERIMA KASIH YA ALLAH. I LOVE U,ALLAH!
No comments:
Post a Comment